Dengan tak semena-mena aku berada di sebuah pulau. Aku seolah-olah bercuti bersama keluarga aku. Waktu tu aku berada di sebuah pondok. Aku dengar orang tempatan pulau tersebut bercerita kepada aku. Pulau itu seolah-olah tempat latihan terpilih untuk tentera bagi kebanyakan negara. Entah kenapa.

Aku rasa pulau itu sangat cantik, seperti Pulau Bali pula rasanya walaupun aku tak pernah ke sana. Orang tempatan itu memberitahu bahawa suatu masa dahulu, tentera terkuat yang pernah menjalani latihan di pulau tersebut adalah dari negara Eropah, namun sejak kebelakangan ni, tentera dari Jepun pula yang mengambil alih dari segi kekuatan.

Aku terlupa bagaimana aku boleh terpisah dengan keluarga aku. Namun aku tahu yang mereka sedar bahawa aku keluar bersiar-siar di sekitar pulau tersebut. Pulau itu juga agak besar. Waktu itu aku berada di lokasi balik pulau (belakang pulau) manakala keluarga aku berada di bahagian depan pulau.

Aku tak sedar dan tak pernah diberitahu bahawa pulau itu sebenarnya berhampiran dengan sebuah gunung berapi yang masih aktif di dasar lautan. Mungkin penduduk pulau tersebut tidak bimbang kerana ia sudah lama tidak meletus. Kali terakhir adalah beribu tahun yang lampau. Mungkin mereka menganggap gunung berapi itu sudah tidak aktif. Lagipun, pulau tersebut dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang canggih bagi menghadapi malapetaka sekiranya berlaku. Ini termasuk penggunaan nuklear yang aku sendiri tidak pasti bagaimana ia berfungsi bagi menghadapi malapetaka tersebut.

Sedang aku asyik mendengar penduduk tempatan itu bercerita kepada aku, tiba-tiba aku terdengar bunyi siren kecemasan berkumandang di seluruh pulau. Tiba-tiba di hadapan ku sebuah nuklear yang belum pernah aku lihat saiznya yang begitu besar, dilancarkan betul-betul dihadapan mata ku. Dengan serta merta ombak yang amat tinggi beserta lava yang kemerah-merahan sedang menuju ke arah aku. Tanpa berfikir panjang, aku terus lompat ke dalam laut dan berenang menjauhi ombak bercampur lava itu kerana aku sedar akan akibatnya yang amat buruk jika mengenai sesiapa sahaja yang berada berhampiran pantai.

Aku terus berenang sehabis daya menjauhi air laut bercampur larva itu. Aku terfikir akan keluarga aku namun aku yakin mereka masih selamat kerana bahagian depan pulau sangat jauh. Aku berenang secara memintas pulau tersebut dan aku dapat rasakan yang tenaga aku masih ada untuk sekurang-kurangnya sampai ke daratan paling dekat.

Air laut bercampur lava itu sebenarnya masih jauh, namun aku yakin bahawa ia mampu sampai kepada aku sekelip mata kerana kelajuan ombak yang sangat luar biasa. Aku terus berenang sambil berasa cemas kerana kehabisan tenaga mungkin akan berlaku. Tiba-tiba aku ternampak sebuah kolong yang dapat membantu aku terapung. Jadi aku cuma perlu menguakkan tangan tanpa perlu menggunakan tenaga secara berlebihan.

Aku memasuki sebuah lubang semulajadi yang terbina daripada karang batu terbesar yang berada di tengah lautan. Aku terfikir bahawa karang batu itu mungkin akan dapat mengurangkan sedikit kesan haba air laut yang bercampur lava itu. Sedang aku berenang, tiba-tiba muncul ombak yang aku takuti ianya mengandungi lava. Aku segera berpatah balik bagi mencari perlindungan di karang batu tersebut. Namun masa telah suntuk dan aku terus dimamah kepanasan air laut itu bermula dari bahagian hujung tapak kaki sehinggalah ke otak. Kepanasan lava dari air laut itu memamah keseluruhan jasad aku dalam masa yang amat singkat iaitu 0.01 milisaat sehingga aku tidak sempat merasai kesakitan sepenuhnya.

Aku tersedar . Aku lihat keliling . Adakah aku sudah sampai ke alam lain? Adakah aku sudah mati? Aku amati betul-betul persekitaran aku. Kemudian aku dapat rasakan seluruh jasad seperti terkena renjatan elektrik. Rupanya tempat itu tidak lain dan tidak bukan adalah atas katil ku sendiri. Aku bermimpi rupanya. Dan saat badan aku terasa kebas seperti terkena renjatan elektrik, saat itu lah kemungkinannya roh telah memasuki jasad aku semula, seperti yang pernah diperkatakan sesetengah orang bahawa roh kita akan keluar semasa tidur dan kembali setelah kita terjaga. Namun tidak banyak ilmu yang kita tahu berkenaan roh kerana ianya adalah rahsia tuhan.