Mengelakkan bayi menangis malam

Semua bayi menangis pada masa-masa tertentu. Mereka perlu menangis. Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga selama satu hingga tiga jam sehari. Oleh kerana mereka tak dapat membuat apa-apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu bahawa mereka perlukan sesuatu. 

Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang bayi anda perlukan. Adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau sekadar mahu dipeluk? Dalam beberapa hari pertama, semasa anda belum tahu bagaimana hendak mengenal pasti keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisannya yang berlainan dan setelah anda lebih mengenalinya, anda akan dapat memenuhi keperluannya. 

Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan kontak mata, membuat bunyi-bunyi tertentu, dan juga dengan senyuman. Semua ini dapat mengurangkan keperluan untuk menangis. 

Sebab-sebab biasa bayi menangis ada disenaraikan di bawah. Jika bayi anda sukar ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan rasa lebih lega kerana telah cuba memenuhi keperluannya sebaik yang mungkin.

1. Saya perlukan makanan 
Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi yang lebih kecil lebih berkemungkinan menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit sahaja. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, kerana susu awal atau kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit. Anda juga mungkin sedar bahawa susu mula keluar dengan banyak sekitar hari ketiga. 

Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak. Oleh itu, dia akan kerap lapar. Jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu kerana besar kemungkinan dia sedang lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi. 

Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya. 

2. Saya perlukan keselesaan 
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor membuatkan mereka rasa tidak selesa. Setengah bayi tidak begitu cerewet. Lampin yang penuh mungkin tidak mengganggu mereka. Tetapi sesetengah bayi akan menjerit dan minta lampin ditukarkan dengan segera, terutama sekali jika kulit mereka terasa gatal atau tidak selesa. 

Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluannya, jadi eloklah dicuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain melibatkan pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa. 

3. Saya perlu kehangatan - tidak terlalu panas atau terlalu sejuk 
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan. Mereka tidak biasa merasa udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula. 

Berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingati yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk rasa selesa. Jika dia berada di katil bayi atau bakul bayi, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai alas tilam dan bukannya selimut tebal supaya anda boleh menambah atau membuang satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan menyentuh perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya kerana adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk. 

Kebanyakan farmasi di Malaysia ada menjual termometer. Anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 atau 25 darjah C, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung katil bayi supaya dia tak boleh bergolek sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas. 

4. Saya perlu dipeluk 
Setengah bayi sangat suka dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih besar akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi bayi yang baru lahir lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk. 

Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika didukung berlebihan, tetapi sebenarnya, dalam bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini agak mustahil. Sesetengah bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membolehkan bayi berada rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk membuat kerja lain. Ini mungkin jalan terbaik bagi anda berdua.  

5. Saya perlukan rehat 
Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang. 

Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa hingga boleh menjadi gelisah. Cahaya lampu, bunyi bising dan saudara mara yang masing-masing mahu menarik perhatiannya cukup membuatkan dia resah.

Ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila saudara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika anda tidak nampak sebab tertentu mengapa bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus tidur. 

6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sihat
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka yang baru bergelar ibu atau bapa sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi mereka menangis kerana dia adalah bayi yang tidak gembira (sesetengah bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena. 

Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa. Tangisan kesakitan mungkin berbunyi cemas atau nyaring. 

Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula diam, ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasa mungkin ada masalah tertentu, hubungilah pakar pediatrik atau doktor keluarga anda. 

Pakar perubatan profesional lazimnya akan menimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda perlu menghubungi doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila menangis, atau jika tangisan diikuti dengan:

7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu 
Kadang-kala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa apabila dia meragam dan sukar dipujuk. Keadaan tidak gembira atau tangisan yang sukar dipujuk ini boleh berlangsung selama beberapa minit atau beberapa jam. Tangisan yang tidak berhenti selama beberapa jam ini juga dikenali sebagai kembung atau kolik.

Kembung atau kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang daripada tiga hari dalam seminggu. Ramai ibu bapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga. 

Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, anda mungkin rasa lebih lega. 

Anak saya sedang menangis. Apa yang harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda. 

Bedungkan dia dan peluk dengan kuat 
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibu bapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Sesetengah bayi yang lain pula mungkin merasa bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan. 

Dapatkan ritma yang sekata
Dalam rahim, bayi anda boleh mendengar denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, bunyi-bunyi lain yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibu bapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang dapat membuatkan mereka tertidur. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain pada bila-bila masa sekalipun. Sebaliknya, letakkan dia di atas lantai berdekatan dengan mesin tersebut.) 

Buai-buaikan bayi 
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan, dan anda mungkin dapati bahawa bayi anda boleh ditenangkan dengan cara ini, iaitu samada dengan mendodoinya sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang. Buaian bayi yang khas atau kain gendong tradisional boleh menenangkan sesetengah bayi, manakala sesetengah yang lain pula lebih selesa jika bergerak dengan laju dan terus tertidur apabila dibawa berjalan dalam kereta.

Cuba kaedah urutan 
Mengurut bayi atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkannya. Jika anda nampak dia seperti dalam kesakitan akibat  angin, cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadang-kala rasa selesa jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas. 

Biarkan dia menghisap sesuatu 
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan memberi ketenangan. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang. 

Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda 
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibu bapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan atau menenangkannya, ini mungkin membuatkan anda rasa kecewa. Ibu bapa sering menyalahkan diri sendiri. Mereka merasakan bahawa ketidakcekapan mereka sebagai ibu bapalah yang menyebabkan bayi mereka menangis. Tetapi ini bukan hakikatnya. 

Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segala-galanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak rasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan: 
  • Tarik nafas panjang.
  • Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda. 
  • Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakskan diri sendiri untuk 10 minit.
  • Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.
  • Cari kumpulan sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi perasaan anda dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain tentang cara untuk menangani tangisan bayi. Direktori A-Z kami mungkin mempunyai sumber yang boleh membantu anda.
  • Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan. 
  • Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan tunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Secara perlahan-lahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.




Gangguan bayi menangis malam

Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin
SOALAN
Saya seorang ibu yang bekerja di pejabat dan beranak satu. Anak kecil saya yang berumur hampir lapan bulan begitu sukar tidur. Apabila tidur, dia mudah terjaga, biarpun oleh bunyi yang sedikit. Pernah dia menangis hingga hampir dua jam di tengah malam tanpa sebab. Matanya terbeliak ke atas, seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan.
Keadaan yang sering berulang ini menyebabkan kami tertekan, cepat marah kerana tidak cukup tidur apatah lagi terpaksa bekerja pada keesokan harinya. Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini? - NURMALIA, Kampung Bongek, Rembau.
JAWAPAN:
Menangis bagi bayi atau anak kecil merupakan perkara biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.
Ada bayi yang masih dalam hari tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.
Terdapat juga bayi yang mula menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat.
Tangisan biasa selalunya ada kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas, sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.
Sesetengah bayi atau anak kecil akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat tidur yang berubah atau sebaliknya.
Walaupun demikian, tangisan yang memanjang seperti yang berlaku kepada anak puan tidak semestinya mempunyai sebab atau punca yang jelas. Tidak semestinya kerana lapar, dahaga, kesejukan, panas atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya, iaitu si ibu.
Ada orang yang mengaitkan keadaan sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.
Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia.
Kewujudan qarin di samping manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan, sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau murtad.
Dosa-dosa itu tidak diampuni Allah. Walaupun demikian, sekiranya manusia itu beriman dan dilindungi allah, qarin itu akan menyuruhnya melakukan kebaikan.
Selain itu, qarin juga berusaha untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.
Sawan tangis itu ada dua punca utama, iaitu bersifat fizikal seperti kerana lapar, haus dan sejuk, rasa hilang keselamatan diri seperti kehilangan orang yang selalu berada di sampingnya, biarpun buat sementara. Sakit seperti kembung perut atau selesema. Termasuk dalam kategori ini ialah sakit akibat jangkitan kuman dan juga kecacatan anggota seperti terhantuk, terjatuh dan sebagainya.
Punca kedua ialah akibat gangguan makhluk-makhluk halus. Allah menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama, iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya.
Itulah ajaran terawal yang mesti diperhatikan dan dilakukan dengan tujuan agar bayi itu mendengar kalimah Allah sebaik-baik sahaja dilahirkan. Pencipta yang melahirkan bayi yang baru dilahirkan, yang memberi rezeki dan membesarkannya, dan akhirnya akan mematikannya untuk menemui-Nya.
Sekiranya dilakukan demikian, insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu`s-sibyan, iaitu sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh menyebabkan demam panas ataupun sawan.
Keterangan ini membuktikan bahawa roh bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di hadapannya.
Mungkin sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga bapanya menggelabah.
Ada beberapa tanda lumrah yang boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.
Tangisan biasa selalunya disertai dengan air mata. Keadaan ini jarang berlaku pada mereka yang menangis akibat gangguan, manakala suara tangisannya juga berlainan daripada tangisan biasa. Dalam keadaan tertentu tangisan ini mungkin disertai dengan air mata yang bersangatan.
Kanak-kanak ini kadang-kadang berhenti menangis sebentar, kemudian menangis semula. Mata yang pejam ketika berhenti menangis itu akan melahirkan ombak pada kelopak mata, seolah-olah kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan dan kiri.
Tangisan akibat gangguan selalunya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan. Mata bayi kelihatan pejam. Tangisan terjadi seumpama dalam keadaan tidak sedarkan diri (tidur).
Dahi atau bahagian tengah, antara dua alis kadang-kadang berkerut, seolah-olah ada sebiji mata di bahagian tersebut yang sedang memerhatikan sesuatu.
Sering terjadi pada anak-anak kecil yang terganggu, mereka menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan menggigil seolah-olah disergah oleh sesuatu yang menakutkan. Anak ini setelah puas menangis, akan tidur sebentar, lalu menangis lagi dalam keadaan teresak-esak yang disertai dengan tarikan nafas yang tersekat-sekat.
Terlalu banyak kaedah atau usaha boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dalam usaha mengatasi masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan sekali ataupun tiga kali.
Dalam sebuah hadis riwayat oleh Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani, daripada Nabi sabdanya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a'uzu bi rabbinnas dan Qul a'uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya.
Hadis ini bermaksud bahawa Allah telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan pandangan mata jahat. Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh.
Mudarat akibat daripada pandangan mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini Rasulullah membenarkan Asma' Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib.
key terms :

cara mengatasi bayi menangis malam hari
bayi menangis malam tanpa henti
kenapa bayi menangis malam
petua bayi menangis malam
mengapa bayi menangis malam
penyebab bayi menangis malam
bayi menangis tengah malam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya