Justice League [Review]

Belum sempat filem Justice League ditayangkan di Malaysia, khabar-khabar dari seberang laut mengenai filem ini telah sampai ke media sosial di seluruh dunia. Antaranya adalah bagaimana Ben Affleck kelihatan tidak komited memainkan watak Batman dan kenyataannya di akhbar bahawa beliau ingin mencari jalan keluar secara terhormat dari memainkan watak tersebut. Dari apa yang kami lihat dari filem tersebut, ada kebenaran dari berita yang dibaca di media sosial itu.

Justice League

Justice League [Review]

Justice League menyambung kisah Batman vs Superman, di mana Superman telah mati dalam kejadian yang berlaku dalam filem tersebut. Kematian Superman telah memicu satu gerakan untuk menawan bumi oleh seorang yang bernama Steppenwolf. Siapakah Steppenwolf? Baca di sini. Beliau ingin menggunakan kuasa 3 kotak “Mother Box” yang  disorrokkan oleh kaum Amazon, Atlantis dan manusia dalam peperangan terdahulu dengan Steppenwolf. Mother Box ini, apabila digabungkan akan memusnahkan bumi dan mewujudkan satu landskap gelap seperti yang dimahukan Steppenwolf.

Menyedari ancaman tersebut, Bruce Wayne dan Wonder Woman berusaha untuk mencari dan menggabungkan tenaga para adiwira di bumi di bawah Justice League demi mempertahankan bumi tercinta.

Review

Sejak memulakan DC Universe, para penonton dan pihak media mula membuat perbandingan antara DC Universe dan Marvel Universe, dan setakat ini nampaknya Marvel Universe sedang mendahului dari segi kutipan dan populariti. Namun dengan tayangan filem Justice League yang juga menumpang populariti filem mandiri Wonder Woman, nampaknya DC Universe sedang bergerak dalam arah yang positif, walaupun Ben Affleck menyatakan beliau ingin berundur dari memainkan watak Batman. Untuk pengetahuan anda, mengikut garis masa filem ini Batman telahpun beroperasi selama 20 tahun di Gotham. Jadi anda mungkin boleh mengagak bagaimana Batman berundur. Tambahan pula ahli Justice League (kecuali Wonder Woman) muda-muda belaka.

Apa pun, beralih pula ke review filem ini. Umum mengetahui filem-filem DC Comics lebih serious, gelap dan tidak seceria filem Marvel comics. Kami rasakan itu yang menyebabkan para eksekutif di DC Comics merasa sukar untuk mencari formula terbaik untuk menjadikan filem bersifat sedemikian, melekat di hati peminat. Tetapi filem ini menampakkan kemajuan dari segi pengolahan jalan cerita dan watak filem DC Comics.

Walaupun tidak sempurna, namun filem Justice League lebih santai (kurang stress) dan lawak jenakanya lebih menjadi kerana ia tidak cuba terlalu kuat untuk menjadi kelakar. Kemasukkan watak The Flash menyumbang banyak kepada kelucuan dan kesantaian filem ini. Babak-babak aksinya pula sudah boleh menyaingi filem Marvel, walaupun mungkin filem Marvel menang tipis dari segi ini.

Tetapi, seperti yang disebut sebelum ini, filem Justice League tidak sempurna. Namun, memandangkan ia sebuah filem yang akan menjadi asas kepada banyak filem DC Comics lain, ketidaksempurnaan ini sepatutnya dijangka kerana kebanyakan filem yang menjadi asas kepada filem-filem lain biasanya bukanlah yang terbaik antara semua, kerana ia menceritakan pelbagai cerita dalam satu. Dalam kes ini, ia menceritakan kisah Batman, Superman, Wonder Woman, Aquaman, dan Cyborg, semua dalam satu filem.

Banyak butiran kecil boleh dijadikan poin untuk merungut mengenai filem ini, namun secara keseluruhannya filem ini nampak positif. Ia jauh lebih hebat berbanding Batman vs Superman, namun kurang sedikit berbanding Wonder Woman. Tetapi pada akhirnya, kami rasa filem ini dibikin dengan tujuan menarik minat penonton kepada potensi filem-filem akan datang dalam DC Universe. Jadi reaksi penonton sepatutnya samada, “Tak sabar nak tengok filem seterusnya!” atau “Tak ingin nak tengok lagi filem DC Comics!” dan bukan “Bestnya/teruknya filem ini!”.

Positif vs Negatif

Positif

  • Pengolahan dan jalan cerita yang jauh lebih baik dari Batman vs Superman
  • Peralatan Batman yang lebih canggih.
  • Lawak jenaka yang lebih subtle dan tidak terlalu cuba untuk menjadi kelakar

Negatif

  • Belum lagi berada di tahap filem Marvel
  • Struktur jalan cerita yang agak tipikal bagi sebuah filem adiwira

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, filem Justice League sememangnya adalah filem menjadi titik perubahan kepada filem DC Universe. Sebenarnya filem Wonder Woman telahpun menjadi petanda itu, namun bezanya filem Wonder Woman adalah filem mandiri yang terbaik dalam DC Universe, manakala Justice League memberi gambaran kepada filem-filem DC akan datang secara keseluruhan dan memberi gambaran semada anda akan terus menonton filem DC atau tidak.

Kami sangat merekomen filem ini bukan hanya kerana ia filem yang baik, malahan kerana tanpa menontonnya, anda mungkin akan merasa kehilangan apabila menonton file-filem akan datang dari DC Universe.

Penilaian: 8/10

IMDB

 

The post Justice League [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2yLHMbO

24 Hours To Live [Review]

Satu lagi filem kurang ternama yang kami tonton adalah 24 Hours To Live lakonan pelakon agak vetren, Ethan Hawke. Daripada trailernya, ia kelihatan seperti sebuah filem yang boleh dijangka, namun setelah menontonnya, ia bukanlah sebuah filem stereotaip seperti yang disangkakan. Ini pendapat kami mengenai filem tersebut.

24 Hours To Live [Review]

24 Hours To Live mengisahkan Travis Conrad, seorang bekas askar upahan terhadal syarikat Red Mountain yang telah berhenti dari syarikat tersebut selepas anak dan isterinya dibunuh oleh pihak yang membalas dendam ke atas apa yang dilakukan askar upahan syarikat tersebut.

Setelah setahun meninggalkan pekerjaannya itu, beliau didatangi semula bekas rakan sekerjanya, Jim Morrow, mengajaknya melakukan satu tugasan membunuh untuk syarikat lamanya itu. Pada awalnya beliau menolak, tetapi setelah ditawarkan USD1 juta sebagai upah, beliau bersetuju untuk melakukannya, dengan syarat Morrow menggandakan bayaran kepada USD2 juta.

Untuk mendapat kedudukan sasaran, beliau perlu mencuri maklumat dari pegawai polis interpol yang bertugas menjaga sasaran Conrad sehingga beliau memberi keterangan jenayah ke atas syarikat Red Mountain kepada UN. Terkesan dengan penyesalannya yang tidak mahu membunuh orang yang tidak bersalah, beliau tidak membunuh pegawai tersebut selepas menggodam telefon bimbitnya untuk mendapatkan maklumat kedudukan sasarannya. Akibatnya perbuatan beliau diketahui pegawai interpol bernama Lin itu dan dipendekkan cerita, beliau ditembak mati dalam usaha melarikan diri.

Namun, syarikat Red Mountain mempunyai prosedur khas yang boleh membolehkan orang mati hidup semula, tetapi hanya untuk seketika. Conrad dihidupkan semula menggunakan prosedur ini demi mendapatkan maklumat yang dicurinya dari Lin. Tetapi setelah mendapat maklumat itu, Red Mountain pula mengarahkan beliau dibunuh. Dengan hebatnya, beliau berjaya melepaskan diri. Tetapi mendapat tahu beliau hanya mempunyai 24 jam untuk hidup. Apa yang beliau lakukan selepas itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

“Protagonis mempunyai 24 jam untuk hidup”, satu plot yang bukanlah baru bagi peminat filem aksi. Namun, filem ini mempunyai mesej yang lebih mendalam dari itu. Pertama sekali, pada awal filem ini, Conrad berada dalam keadaan penyesalan yang teramat sangat kerana disebabkan kerjanya sebagai askar upahan, beliau telah mengabaikan isteri dan anaknya sehingga mereka dibunuh oleh musuh syarikat Red Mountain. Sungguhpun demikian, beliau tidak benar-benar memahami tahap penyesalannya sehingga beliau telah dikhianati syarikat yang mengupahnya. Setelah mengambil keputusan melawan bekas majikannya itu sedikit demi sedikit beliau telah mengetahui mengetahui laterbelakang syarikat tersebut dan apa sebenarnya berlaku kepada anak dan isterinya. Jalan ceritanya ialah mengenai bagaimana Conrad memperbaiki segala perkara buruk yang telah beliau sesali sepanjang bekerja dengan syarikat Red Mountain. Dengan kata lain plotnya tidaklah seringkas yang disangkakan. Ia lebih mendalam dan emosional.

Produksinya juga bukan sembarangan. Aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar dengan kereta berkualiti serta tidak kedekut dari segi bajet. Banyak kereta dan infrastruktur Afrika Selatan telah rosak dalam penggambaran filem ini. Cuma mungkin dari segi kesan khas kesan tembakan vs manusia, produksinya hanya menggunakan CGI yang tidak realistik. Namun, ia boleh difahami kerana filem ini bukanlah filem yang berada pada tahap sama dengan filem aksi ternama seperti Fast an Furious atau James Bond. Tengok sajalah barisan pelakonnya yang kurang ternama (selain Ethan Hawke) dan anda boleh mengagak tahap filem ini.

Secara keseluruhannya, filem ini, walaupun kurang ternama, masih mempunyai kualiti yang hampir kepada suatu filem Holywood dengan bajet tinggi. Tetapi tidak dapat dinafikan struktur jalan cerita yang agak ringkas dan putaran plot yang mudah menghindarkannya dari menjadi sebuah filem meletop di box office.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang berperasaan, dan bukan setakat filem aksi kosong semata-mata
  • Produksi babak aksi yang tidak kedekut dengan memusnahkan pelbagai kenderaan dan infrastruktur.
  • Durasi filem yang sedang elok. Tidak terlalu panjang atau terlalu pendek.

Negatif

  • Putaran plot dan struktur jalan cerita yang baik, tetapi tidaklah sebaik filem Holywood yang lebih tinggi bajetnya.
  • Betulkah syarikat keselamatan swasta boleh melakukan sebegitu banyak kerosakan dan pembunuhan?

24 Hours To Live

Kesimpulan

Kesimpulannya filem 24 Hours To Live boleh tahan juga. Jika diberi perbandingan, kami bolehlah mengatakan ia berada di tahap yang lebih kurang sama dengan filem Transporter Reloaded (filem reboot bagi Transporter). Kami rasa anda masih boleh terhibur dengan menonton filem ini jika anda tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi ke atasnya. Akhirnya ia hanyalah sebuah filem aksi di antara beratus-ratus yang dibikin Holywood setiap tahun.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post 24 Hours To Live [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2zGkxEh

Killing Gunther [Review]

Sekali-sekala menonton filem yang luar dari genre yang biasa kita tonton akan meluaskan lagi  pandangan kita dalam dunia perfileman. Killing Gunther merupakan salah satu filem yang mempunyai tema yang luar dari kebiasaan dan kami sempat menontonnya tempoh hari untuk membuat review.

Killing Gunther [Review]

Killing Gunther mengisahkan sekumpulan pembunuh upahan yang bergabung untuk membunuh seorang lagi pembunuh upahan bernama Gunther yang terlalu handal sehingga merampas semua perniagaan mereka. Menjangkakan kemenangan, mereka mengupah kru penggambaran untuk membuat dokumentari tentang operasi mereka memburu Gunther. Filem ini adalah dokumentari tersebut.

Masalahnya, mereka tidak pernah melihat siapa Gunther dan bagaimana rupanya. Bermulalah operasi mereka memburu Gunther yang penuh dengan aksi dan lawak jenaka. Namun, dapatkah mereka memburu Gunther? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Pertama sekali, filem ini sememangnya langsung tidak serious, malah daripada temanya yang pelik, sebuah filem dokumentari komedi, kita sudah boleh tahu tahap keseriousannya. Kita pernah disajikan dengan filem bertemakan dokumentari sci-fi atau dokumentari seram, namun dokumentari komedi sememangnya suatu yang pelik. Di celah-celah babak-babak aksinya, kamera dalam filem ini akan menemuramah watak-wataknya untuk meminta pendapat mereka mengenai situasi yang sedang mereka hadapi.  Oleh itu, penonton seharusnya menonton filem ini tanpa sebarang jangkaan tinggi, barulah mereka boleh menikmatinya.

Jalan cerita filem ini memang mudah, iaitu memburu pembunuh upahan bernama Gunther dan plotnya mudah difahami serta tiada putaran plot kompleks yang memerlukan pemikiran yang mendalam. Babak aksinya bukanlah terhebat di antara filem Holywood, namun dipenuhi lawak jenaka yang lucu. Namun jenis lawak jenakanya bukanlah lawak jenaka arus perdana seperti dalam filem Thor atau The Assassins Bodyguard, malah tidak semua akan merasakan ia lucu. Ia lebih mirip lawak parodi di mana ia menjadi parodi kepada filem-filem pembunuh upahan.

Melihat Arnold Schwarzenegger membawa watak yang lucu juga satu yang jarang kita lihat. Tambahan pula dengan membayangkan beliau pernah menjadi gabenor California. Sejauh mana beliau boleh membawa watak lucu? Kami rasakan beliau patut kekal kepada watak hero aksi. Namun, memandangkan filem ini sememangnya tidak serious, kami layankan sahaja.

Pendek kata, bagi mereka yang gemar filem parodi, mereka akan suka menonton filem ini, tetapi bagi mereka yang mengharapkan filem komedi lebih mirip kepada The Assassins Bodyguard, mereka akan hampa. Apa jua keadaannya, dapatkan tiket paling murah jika mahu menonton filem ini (tayangan early bird untuk TGV atau tayangan hari Rabu untuk GSC).

Killing Gunther

Positif vs Negatif

Positif

  • Agak lucu bagi mereka yang gemar tema filem ini
  • Tema filem yang baharu
  • Babak aksi yang boleh tahan bagi sebuah filem (yang kelihatan seperti) bajet

Negatif

  • Tidak serious
  • Kelihatan seperti filem bajet.

Kesimpulan

Kesimpulannya filem ini hanyalah sebuah filem santai yang hanya untuk mereka yang sekadar mahu melepaskan tekanan atau kebosanan selepas kerja atau tugasan bertekanan tinggi. Ia tidak akan memenangi hati penonton filem yang serious, namun bagi yang hanya mahu melepaskan tekanan, filem ini memang sesuai. It ringan dan lucu, cuma jangan mengharapkan apa-apa yang hebat daripadanya.

Penilaian 6/10

IMDB

The post Killing Gunther [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2zrjvee

Thor Ragnarok [Review]

Filem yang ditunggu ramai kini telah mula ditayangkan. Thor Ragnarok merupakan edisi terbaharu dalam siri filem Thor dan kami berpeluang menonton filem ini di pawagam.

Thor Ragnarok [Review]

Filem Thor Ragnarok menyambung kisah Thor The Dark World. Dalam filem berkenaan Loki kononnya telah mati, tetapi sebenarnya hidup dan menyamar sebagai Odin. Dalam Ragnarok pula, Thor mendapat tahu bahawa Loki menyamar dan memaksanya mendedahkan di mana Odin yang sebenar berada. Namun, setibanya mereka ke tempat Odin berada, Odin memberitahu mereka bahawa umurnya telah sampai ke penghujung dan kematiannya akan membebaskan kakak sulung Thor dan Loki, iaitu Hela, yang jauh lebih kuat daripada mereka.

Pembebasan Hela setelah berabad lamanya dikurung diramalkan akan memulakan Ragnarok, iaitu ramalan bahawa Asgard akan dimusnahkan oleh kuasa jahat. Dapatkah Thor dan Loki mengalahkan Hela dan seterusnya menyelamatkan Asgard dari Ragnarok? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Setelah sekian lama menonton trailer Thor Ragnarok dengan soutrack yang begitu mengujakan, akhirnya dapatlah kami menonton filem ini. Awal-awal lagi filem ini telah membuka cerita dengan lawak jenaka bersahaja. Ia mengekalkan trend lawak bersahaja ini sepanjang filem ini dan inilah perkara pertama yang kami sukakan tentang filem ini, ia sentiasa lucu, namun tidak terlalu lucu hingga mengorbankan jalan cerita yang serious. Lakonan dan skrip filem ini juga lebih santai dan “natural” sekaligus memperlihatkan pelakonnya lebih mirip bercakap secara spontan sahaja.

Satu lagi perkara yang membezakan filem ini dari filem Marvel yang lain adalah berbanding filem seperti The Avengers dan Captain America Civil War adalah ia tidak bergantung kepada babak aksi yang panjang berjela-jela. Harus diakui bahawa filem-filem terebut mempunyai babak aksi yang terlalu panjang hingga membosankan penonton. Dalam Thor Ragnarok, babak aksinya mempunyai durasi yang tidak panjang dan sekadar cukup untuk menyampaikan poinnya sahaja.

Thor Ragnarok

Jalan ceritanya pula mudah difahami, tiada putaran plot yang terlalu kompleks hingga membunuh sel otak, sesuai untuk mereka yang hanya mahu melepaskan tekanan di hujung minggu. Jangan lupa menonton dua babak tersembunyi, satu di pertengahan babak kredit, satu di penghujung babak kredit.

Positif vs Negatif

Positif

  • Adunan sempurna aksi, lawak jenaka dan jalan cerita menarik
  • Skrip yang santai dan natural
  • Kemunculan Dr Strange menghiburkan lagi filem ini

Negatif

  • Tiada banyak perkara negatif yang menonjol pada filem ini

Kesimpulan

Tidak dapat disangkal lagi filem Thor Ragnarok merupakan filem wajib ditonton tahun ini. Kekuatan utama filem ini adalah vibe filem ini yang santai dan tidak menciuba terlalu kuat untuk menjadi filem paling kelakar atau paling beraksi. Kesederhanaan itulah yang menjadikan filem ini menghiburkan secara ikhlas. Kami memang manggalakkan anda menonton filem ini dengan rakan-rakan anda bagi menceriakan hari anda.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Thor Ragnarok [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2z9ZgBF