Jibam [Review]

Beberapa minggu kebelakangan ini kedengaran isu mengenai filem Jibam yang dikurangkan tayangannya secara drastik kerana tidak laku di pawagam. Kemudian kedengaran pula sekumpulan penonton yang menempah terus satu panggung untuk menyokong dan menonton filem tersebut. Ini membawa kepada lanjutan penayangannya di pawagam. Ini membolehkan kami menontonnya dan menilai sendiri filem yang menimbulkan kontroversi ini. Lagipun, sekali sekala kami mahu menonton filem Melayu yang bukan filem cinta mahupun seram.

 

Jibam [Review]

Jibam atau nama sebenarnya Ashraf merupakan kanak-kanak istimewa yang mempunyai perangai pelik dan sering dibuli kanak-kanak lain serta sesetengah orang kampung tertentu. Bapanya Suman, merupakan orang peneroka tanah yang mula-mula membuka dan menubuhkan kampung di mana mereka tinggal. Namun beliau telah hilang secara misteri dan tinggallah Jibam, ibunya dan kedua abangnya, Fakir dan Kadir.

Jibam mewarisi kuasa istimewa dari bapanya yang boleh menyembuhkan penyakit atau kecederaan. Perkara ini dibuktikan apabila Tok Ngah Sudin yang membenci Jibam, yang suka mengacaunya, telah secara tidak sengaja menolaknya jatuh dari tebing sungai. Menyangka Jibam telah mati Tok Ngah Sudin menyorokkan mayatnya di semak samun. Tanpa disangka Jibam muncul semula tanpa kecederaan tidak lama selepas itu.

Sejak itu Tok Ngah Sudin dihantui bayangan Jibam akibat rasa bersalah sehinggakan hampir gila dibuatnya. Apa akan terjadi antara Jibam dan Tok Ngah Sudin? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Dalam industri perfileman tempatan yang kecil, memang sukar untuk membikin sebuah filem yang berlainan dari kebiasaan dan pembikinan filem Jibam ini seharusnya dipuji kerana menampilkan tema yang lain dari yang biasa dan “selamat”. Ia sebuah drama kemasyarakatan dicampur unsur komedi. Sememangnya kami menunggu filem seperti ini untuk diterbitkan pengarah Malaysia, namun oleh kerana ia berisiko tidak pulang modal, maka tidak ramai berani melakukannya.

Pada pandangan pertama, sinematografinya yang baik mengalu-alukan penonton dan plotnya nampak berpotensi, namun, semakin lama menonton, masalah terbesarnya menampakkan diri. Susun atur jalan ceritanya tidak begitu baik dan penonton termasuk kami mula menghadapi masalah mengenalpasti apakah plot sebenar filem ini. Kami boleh nampak beberapa plot dalam filem ini, namun kerana tidak ada aturan yang jelas menyebabkan penonton tertanya-tanya tentang banyak perkara.

Tetapi apa yang baiknya adalah babak-babak secara individunya dibikin dengan baik, cuma susun aturnya agak bercelaru, menebabkan kesinambungan antara babak sukar dilihat.Malah Jibam dilihat kurang menyerlah berbanding watak-watak lain. Sebagai penonton, kami mengharapkan filem memfokuskan kepada watak Jibam supaya kami boleh lebih “emotionally invested” dalam watak tersebut, namun hampa. Tambahan pula kesudahan filem ini pelik dan tergantung dengan cara yang pelik.

Sungguhpun demikian kami nampak potensi dalam filem ini terutamanya kerana barisan pelakon yang hebat termasuk pelakon veteran seperti A. Galak, Kamarool Yusof, Kazar, Zaidi Omar dan lain-lain. Ia juga mengetengahkan realiti kehidupan di kampung di mana isu-isu seperti tanah pusaka, hubungan erat dengan jiran tetangga, isu membela hantu dan pelbagai isu yang banyak dihadapi masyarakat Melayu kampung. Cuma mungkin terlalu banyak isu yang ingin diketengahkan menyebabkan filem ini hilang fokus.

Positif vs Negatif

Positif

  1. Lakonan mantap barisan pelakon handalan.
  2. Babak-babaknya secara individu dibuat dengan baik (cuma susunan babak-babaknya secara keseluruhan agak bercelaru).
  3. Penggunaan muzik bertemakan Melayu dibuat dengan baik. Malah penggunaan muzik dalam babak-babak secara keseluruhan juga baik

Negatif

Secara keseluruhannya kami rasa masalah dengan filem ini adalah:

  1. Ia tidak menggambarkan dengan jelas apakah plot filem ini. Sehingga penghujung filem ini kami tidak pasti apakah yang hendak diceritakan pengarah melalui filem ini.
  2. Ia tidak memperkenalkan secara jelas setiap watak serta kaitannya dalam plot cerita. Sesetengah watak dilihat tidak mempunyai peranan yang signifikan dalam filem ini.
  3. Kesudahan yang tergantung. Sesetengah filem sengaja mempunyai kesudahan yang tergantung untuk memberi laluan kepada sekuel, tetapi filem ini seolah-olah tidak siap dan dipendekan secara tergesa-gesa.

Kesimpulan

Walaupun banyak komen negatif mengenai filem ini, kekuatan utama filem ini ialah lakonannya yang mantap dalam babak-babak individunya. Contohnya jika kita lihat filem Polis Evo, banyak dialognya ketara sangat seperti berlakon kerana kita tahu dalam realiti, orang Malaysia tidak bercakap seperti demikian. Namun dalam filem Jibam ini, dialognya lebih natural dan tidak nampak seperti dibuat-buat. Cuma kelemahan besar filem ini adalah pelaksanaan serta susunan jalan ceritanya mengelirukan penonton. Bukan niat kami nak menjatuhkan produksi filem ini, cuma realitinya kelemahan-kelemahan ini menjadi penyebab sambutan dingin terhadap filem ini dan diharap diperbaiki dalam filem-filem akan datang.

Akhir kata kami tinggalkan anda dengan satu filem pendek di mana kami rasakan jika filem Jibam dibikin/diolah seperti filem pendek ini, pasti ia akan mendapat sambutan yang lebih baik.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post Jibam [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2kUowmH

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya