Black Panther – Kemuncak Kegemilangan Filem Adiwira Orang Kulit Hitam

Sejak kemunculan watak Black Panther dalam filem Avengers: Civil War, ramai tertunggu-tunggu penerbitan filem mandiri Black Panther dan kini, penantian telah tamat. Kami sempat menonton filem Black Panther ini di pawagam dan kami ingin kongsikan pendapat mengenai filem ini.

Black Panther – Kemuncak Gemilang Filem Adiwira Orang Kulit Hitam

Setelah kematian raja negara Afrika bernama Wakanda dalam filem Avengers: Civil War, anaknya bernama T’Challa telah dinobatkan sebagai raja negara tersebut. Dari luarnya, Wakala nampak seperti sebuah negara pertanian yang miskin, tetapi ia sebenarnya sebuah negara paling maju dan kaya di dunia hasil kedatangan satu logam unik dari angkasa digelar vibranium. Logam itu membolehkan pelbagai teknologi maju dihasilkan daripadanya. Keseluruhan bandar-bandar dan teknologi maju ini dirahsiakan dari pengetahuan luar untuk tujuan keselamatan.

Namun, seorang musuh lama telah muncul untuk menuntut takhta Wakanda dan T’Challa kini perlu menyatukan puak-puak di Wakanda bagi membela nasib Wakanda supaya tidak jatuh ke tangan musuh yang menyasarkan untuk membalas dendam ke atas semua kerajaan yang memperhambakan kaum kulit hitam Afrika.

Siapakah yang akan menang dalam perebutan kuasa ini? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sejak penubuhan Holywood dan juga Marvel Comics, tidak banyak filem adiwira yang dicipta berasaskan watak kaum kulit hitam dan salah satu watak Marvel itu adalah Black Panther. Jadi tidak hairanlah filem ini dijulang di Amerika sebagai sebuah filem yang membawa mesej yang unik berbanding filem adiwira lain, dan kami juga bersetuju dengan tanggapan itu.

Filem ini sememangnya mempunyai nuansa berbeza dari filem adiwira biasa di mana ia memaparkan bagaimana satu kaum di Afrika boleh maju tanpa bantuan orang barat. Ini sememangnya satu konsep yang revolusi dalam sebuah filem. Pada masa yang sama ia mengetengahkan masalah kaum kulit hitam di Amerika yang ditindas dan tidak maju. Secara tidak langsung Wakanda dan orang-orangnya dilihat boleh menjadi satu gambaran idealistik yang patut dicapai oleh kaum kulit hitam di seluruh dunia. Mungkin ramai yang memandang mudah perkara ini, namun dalam juga maksudnya dan kami rasakan sebab inilah filem itu menerima sambutan luarbiasa oleh penonton.

Malah, pada masa penulisan artikel ini, filem ini mendapat rating 98% daripada 168 review di laman web pengkritik filem rottentomatos.com. Pada satu ketika, rating tersebut berada di tahap 100%.

Satu lagi perkara unik mengenai watak-watak dalam filem ini ialah, tidak seperti adiwira lain Marvel, watak-watak orang Wakanda lebih tenang, rendah diri dan berdisiplin berbanding sifat koboi kebanyakan adiwira lain. Ini menyebabkan watak mereka lebih digemari oleh golongan rakyat marhaen.

Dari segi aksi dan efek CGI, ia sememangnya di tahap yang anda harapkan dari sebuah filem Marvel yang mempunyai bajet  yang besar. Malah kami sukakan bagaimana konsep dunia Wakanda telah direka serta bagaimana sifat-sifat vibranium menyumbang kepada kemajuan teknologi Wakanda.

Walaubagaimanapun, selain rekaan dunia wakanda dan konsep asas filem ini yang menarik, jalan cerita asasnya agak mudah dijangka kecuali bahagian penghujungnya. Jadi jika anda penonton setia filem Marvel, mungkin anda tidaklah tertakjub dengan jalan ceritanya yang boleh jangka jalan ceritanya cuma mungkin kesudahannya sedikit unik memandangkan ia membawa mesej ala aktivis sosial.

Positif vs Negatif

Positif

  • Konsep filem yang agak unik dengan tema sosial kaum kulit hitam
  • Aksi dan kesan khas di tahap yang tinggi.
  • Lakonan dan perwatakan watak-watak yang menarik.

Negatif

  • Bahagian tengah jalan ceritanya agak boleh dijangka
  • Jika anda tidak tonton Avengers: Civil War, beberapa perkara akan kurang jelas kepada anda

Black Panther

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Black Panther adalah sebuah filem adiwira yang unik dan mesti ditonton peminat-peminat filem Marvel. Tambahan pula, filem ini penting kerana mempunyai kaitan dengan filem Avengers seterusnya iaitu Infinity War. Kami cadangkan anda menonton filem ini sebelum menonton filem Infinity War yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Memang bijak Marvel Studios mewujudkan francais di mana anda perlu tonton semua filemnya untuk memahami kisah filem seterusnya. Memang tersangkutlah anda.

Tetapi untuk filem ini kami hanya boleh berikan markah 8/10 memandangkan bahagian tengah jalan ceritanya boleh dijangka.

Penilaian: 8/10

IMDB

The post Black Panther – Kemuncak Kegemilangan Filem Adiwira Orang Kulit Hitam appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2o8XgT9

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya