Pacific Rim Uprising – Penyerahan Nasib Bumi Kepada Generasi Baharu Pemandu Jaeger

Filem Pacific Rim pertama, walaupun bukan epic, berjaya menarik minat penonton dari pelbagai lapisan masyarakat dan merupakan satu kejayaan (lebih kurang) box office yang tidak disangka. Tetapi, filem itu berkesudahan dengan kejayaan pihak bumi mengalahkan angkatan Kaiju serta menutup portal yang membawa masuk Kaiju dari dunia makhluk Precursors ke bumi. Jadi, bagaimana peperangan baru dengan kaiju boleh berlaku dalam Pacific Rim Uprising? Anda perlu tonton filem ini untuk mengetahuinya. Kami sempat menonton filem ini  tempoh hari dan di sini kami berkongsi pendapat mengenainya.

Pacific Rim Uprising – Penyerahan Nasib Bumi Kepada Generasi Baharu Pemandu Jaeger

Pacific Rim Uprising berlangsung 10 tahun selepas tamatnya perang dengan kaiju dan penutupan portal Precursors di mana sesetengah negara telah pulih dari kerosakan dari peperangan dengan kaiju dulu dan sesetengah negara tidak. Jake Pentecost merupakan anak kepada Stacker Pentecost, hero dalam filem Pacific Rim asal. Walaubagaimanapun beliau telah meninggalkan Pan Pacific Defence Cor (PPDC) dan hidup mencuri komponen Jaeger terbiar untuk dijual di pasaran gelap.

Dalam usaha mencuri satu komponen Jaeger berharga, beliau telah terserempak dengan Amara Namani, juga seorang pencuri komponen Jaeger berusia 15 tahun, tetapi mencuri komponen untuk membina Jaegernya sendiri. Oleh kerana mereka telah ditangkap oleh PPDC kerana memiliki Jaeger tidak didaftarkan, mereka terpaksa menyertai PPDC atau menghadapi hukuman penjara.

Pada masa yang sama PPDC sedang menimbang menggunakan Jaeger dron, menggantikan  Jaeger dengan pemandu bagi mengatasi pelbagai limitasi yang dihadapi dengan Jaeger jenis itu. Jaeger tersebut dibina oleh syarikat Shao Corporation yang diketuai Liwen Shao dan projek dron itu dipelopori Dr Newton Geiszler, yang juga merupakan salah satu ahli sains yang membantu menyelamatkan bumi dalam filem asal.

Segalanya nampak berjalan lancar sehingga kemunculan sebuah Jaeger misteri di Sydney, Australia yang datang untuk menyerang Jaeger Jake dan Lamber, rakan sepasukannya. Apakah Jaeger misteri itu dan siapakah yang memandunya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Perkara pertama yang paling ketara mengenai filem ini berbanding filem sebelumnya ialah Jaeger-Jaeger yang ditampilkannya lebih cantik dan gempak. Malah Jaeger misteri yang dikatakan tadi juga mempunyai rekabentuk yang cantik. Animasi pergerakan Jaeger samada berlawan atau berlari dan sebagainya juga lebih realistik dan lebih mirip pergerakan manusia sebenar. Secara umumnya, animasi CGI dalam filem ini sememangnya terbaik.

Tetapi apa yang perlu diberi perhatian adalah tema filemnya dan bagaimana ia berbeza dengan filem asal. Pada pendapat kami, filem pertama lebih disasarkan kepada penonton lebih dewasa yang membesar menonton filem robot dan raksasa seperti Gundam dan Godzilla sekitar lewat 90an dan sepanjang 2000an. Tetapi filem kali ini jelas berbeza, di mana ia lebih menyasarkan penonton remaja. Dengan kata lain penonton sasaran telah berubah dari penonton Gen X kepada penonton Milenial atau lebih muda. Malah jalan ceritanya juga boleh diringkaskan seperti ini: “sekumpulan Gen X di bawah arahan Baby boomers mengetuai remaja milenial dalam peperangan melawan musuh makhluk kaiju”.

Alasan yang digunakan dalam filem ini juga agak bijak iaitu pemandu Jaeger yang lebih muda lebih mudah diserasikan (Jaeger memerlukan dua pemandu di mana minda mereka perlu diserasikan). Jadi anda boleh jangkakan francais filem ini beralih kepada penonton muda. Kami jangkakan francais ini akan ada sequel lagi selepas ini.

Berbalik kepada jalan ceritanya, ia tidaklah begitu berat dan tidaklah terlalu ringkas. Jalan cerita dan putaran plotnya telah disusun dengan baik bagi menambah debaran tanpa merumitkan pemikiran penonton. Babak aksinya juga mendebarkan dan menghiburkan. Lakonan John Boyega dan pelakon sokongan juga baik, namun kami tidak berapa pasti mengenai lakonan Scott Eastwood sebagai Lambert. Sedikit kayu? Anda nilaikan sendiri selepas menonton filem ini.

Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan filem ini dan kami berpendapat ia sebuah filem yang tersusun rapi dari segi aksi dan jalan cerita. Namun kami juga sedari bahawa hampir semua unsur Jepun telah dikikis daripada francais filem ini dan digantikan dengan unsur China. Padahal tema robot dan raksasa ini berasal dari Jepun dan filem asal Pacific Rim sangat mengetengahkan unsur Jepun, biar dari segi watak utamanya, Maki Mori, kepada nama kaiju itu sendiri yang berasal dari perkataan Jepun. Tetapi filem sequel ini seolah-olah tidak mahu menyentuh langsung Jepun, jika tidak perlu. Malah peranan watak Mako Mori juga hanyalah singkat sahaja.

Perkara ini sememangnya boleh dijangka. Untuk pengetahuan anda, China hanya membenarkan bilangan tertentu filem antarabangsa untuk ditayangkan di negara mereka dan filem yang ditayangkan itu juga perlu mempunyai penglibatan syarikat tempatan, barulah ia boleh ditayangkan di China. Oleh sebab itulah anda lihat kebanyakan filem utama akan mempunyai penglibatan China dalam jalan ceritanya. Pasaran China terlalu besar untuk diabaikan. Filem pertama Pacific Rim merupakan satu percubaan dan disasarkan kepada penonton Jepun. Setelah menyedari potensi francais ini, pasukan produksi menyasarkan keuntungan maksimum dengan memfokuskan kepada China. Ya, filem ini sebuah filem yang baik dan penuh aksi, tetapi telah hilang identiti asalnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Penuh aksi dan bertenaga
  • Jalan cerita yang menarik dan putaran plot yang mendebarkan
  • Animasi CGI yang terbaik

Negatif

  • Agak ketara dalam mengangkat China sebagai pemain utama dalam filem ini
  • Telah kehilangan identiti asalnya

Kesimpulan

Kesimpulannya, tanpa mengambil kira faktor geopolitik, filem ini merupakan sebuah filem yang penuh aksi dan menghiburkan, dan kami merekomen anda untuk menonton filem ini di pawagam berhampiran anda. Anda pasti terhibur menonton filem ini. Namun, bagi anda yang sememangnya peminat budaya Jepun, anda mungkin sedikit kecewa kerana Jepun telah dianaktirikan dalam jalan cerita filem ini. Dengan kata lain, identitnya telah hilang kerana pihak produksi ingin mengaut keuntungan di pasaran China dan sepertimana yang anda ketahui perkara yang melibatkan China dan Jepun adalah “zero sum game” di mana anda hanya boleh memilih salah satu, tidak boleh keduanya.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post Pacific Rim Uprising – Penyerahan Nasib Bumi Kepada Generasi Baharu Pemandu Jaeger appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2pDpgzF

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya