A Quiet Place – Filem Survival Penuh Debaran

Filem A Quiet Place bukanlah sebuah filem dalam radar kami, tetapi kami mendapat tahu tentang review baik mengenainya dari media USA dan kami mengambil keputusan untuk menontonnya sendiri serta memberikan anda pendapat kami mengenainya.

A Quiet Place – Filem Survival Penuh Debaran

Kisah A Quiet Place berlangsung pada tahun 2020 di mana bumi (mungkin Amerika sahaja) dicerobohi makhluk ganas yang tiba di bumi (kami percayai) dari meteor yang jatuh ke bumi. Makhluk ini buta, tetapi memburu mangsanya menggunakan bunyi, sama seperti kelawar. Filem ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang hidup dengan menyelongkar kedai-kedai yang ditinggalkan serta hidup di sebuah ladang di mana mereka menanam makanan mereka. Untuk mengurangkan bunyi, mereka menggunakan bahasa isyarat untuk sebahagian besar komunikasi.

Evelynn Abbot (ibu) dan Lee Abbot (bapa) mempunyai 3 orang anak, dua lelaki, seorang perempuan (sulung) di mana anak perempuan mereka pekak dan perlu mendengar menggunakan alat bantuan pendengaran buatan sendiri Lee, tetapi tidak berfungsi dengan baik serta tidak membolehkannya mendengar pun.

Bagaimanakah mereka akan meneruskan kehidupan mereka dan mengelak dari dikesan makhluk-makhluk tersebut? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sebelum pergi lebih jauh, biarlah kami memberikan butiran-butiran yang kurang penting mengenai filem ini secara ringkas, sebelum beralih kepada bahagian review yang utama. Filem ini, lebih kepada filem drama/thriller makhluk asing. Sekali pandang anda boleh ketahui bahawa bajetnya tidaklah tinggi. Pelakonnya hanya 4 orang dengan 2 pelakon tambahan, lokasi penggambarannya sebahagian besarnya di ladang tempat mereka tinggal dan animasi CGI untuk makhluk asingnya yang tidak mempunyai kepintaran (hanya seperti binatang buas) hanya di tahap OK sahaja. Tetapi, kekuatan utama filem ini adalah jalan cerita dan pengolahannya yang pada satu tahap yang tinggi.

Sebenarnya dalam 30 hingga 45 minit pertama filem ini dihabiskan untuk membentangkan perincian mengenai dunia yang keluarga Abbot kini hidup seperti modus operandi mereka bagi mereka menjalankan kehidupan harian, mencari makanan, berjalan-jalan, berkomunikasi dan sebagainya. Ia juga menerangkan sifat-sifat makhluk ganas itu dan bagaimana mereka memburu. Bahagian ini sangat perlahan, tetapi sangat penting bagi penonton memahami sejauh mana tertekannya hidup dalam keadaan mereka. Banyak juga maklumat yang dipersembahkan dalam bentuk keratan akhbar, jadi jangan lupa untuk memberi perhatian kepada keratan akhbar yang banyak.

Sejujurnya, kami tidak boleh bayangkan apa kesudahan filem ini pada ketika itu kerana bahagian awal filem ini tidak memberikan sebarang hala tuju untuk filem ini. “Takkan filem ini memaparkan kehidupan seharian mereka semata-mata?”, tanya kami. Tetapi, kesabaran kami telah membuahkan hasil pada separuh kedua filem ini.

Beralih kepada separuh kedua filem ini di mana poin utama di bahagian ini adalah Evelyn Abbot sedang sarat mengandung. Di sini terdapat persoalan kontroversi yang timbul dan dapat dilihat di media sosial. Ramai penonton (dan juga saya dan mungkin juga anda nanti) yang bertanya, kenapa beliau nak mengandung dalam keadaan dunia seperti itu? Untuk menjawab soalan itu cuba anda bertanya, kenapa terdapat kanak-kanak dilahirkan di tengah perang seperti di Syira? Bagi kami kehidupan mesti diteruskan dalam apa jua keadaan dan melahirkan anak menjamin kelangsungan manusia di muka bumi. Bagaimana mereka menjamin bayi tidak menangis dan tidak didengari makhluk ganas itu? Jawapannya terdapat dalam filem berkenaan.

Apa pun, Pn. Abbot sudah mengandung, begitulah jalan ceritanya. Bahagian inilah yang dinanti-nantikan di mana makhluk-makluk ganas itu mula muncul di rumah keluarga Abbot. Bahagian filem ini tidaklah mempunyai aksi-aksi lincah atau apa, namun suspens dan debaran menontonnya paling tinggi dalam sebuah filem thriller. Dan apabila anda merasakan keadaan sudah selamat, jalan cerita ini beralih ke satu lagi babak yang sangat mendebarkan. Kemudian apabila keadaan sudah selamat, satu lagi babak mendebarkan bermula. Anda memang tidak diberi masa untuk bertenang dari babak mendebarkan yang sebelumnya. Inilah satu kelebihan filem ini.

Satu lagi kelebihan filem ini ialah kesudahannya yang unik. Bukan sahaja hala tuju dan objektif keseluruhan filem ini diketahui pada penghujung filem, malah ia dijumpai secara tidak sengaja. Barulah penonton faham filem ini bukannya filem membazir, malah sebuah filem yang mana penulisnya sebenarnya bijak dalam pengolahan jalan cerita. Ia berakhir dengan satu babak yang tergantung, tetapi oleh kerana penonton sudah mengetahui hala tuju filem ini, ia tidak perlu dipanjangkan lagi. Ia lebih bergaya untuk ditamatkan di situ.

Positif Vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang lain dari lain
  • Suspens di tahap gaban
  • Kesudahan yang memberi kepuasan

Negatif

  • Bahagian awal filem ini perlahan dan tiada hala tuju jelas, mungkin membosankan untuk sesetengah penonton

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem A Quiet Place sebenarnya adalah sebuah filem mengenai keibubapaan dan kerisauan membesarkan anak dalam kawasan atau situasi konflik. Ia mengetengahkan nilai kekeluargaan dan tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Kami tidak yakin filem ini akan mendapat kutipan tertinggi atau pecah panggung, tetapi kami berpendapat ia sebuah filem yang sangat unik dan bijak, sekiranya anda cukup sabar untuk menempuhi separuh pertama filem ini yang perlahan. Kami merekomenkan anda menonton filem ini terutamanya jika anda seorang ibu atau bapa yang mempunyai anak kerana anda mungkin akan memahami filem ini lebih dari yang lain.

Penilaian: 9/10

IMDB

The post A Quiet Place – Filem Survival Penuh Debaran appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2GI6C0a

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya