Rise Ini Kalilah – Mengimbau Kembali Pilihanraya Umum 14

Politik sememangnya satu topik yang sensitif dan kadang-kala boleh membawa kepada pergaduhan. Kerana itulah filem Rise Ini Kalilah adalah sebuah filem yang agak sukar untuk diulas tanpa menyentuh isu politik. Sungguhpun demikian, kami akan cuba mengulas lebih dari perspektif rakyat secara objektif. Agak mengagumkan kerana daripada kandungan filem ini jelas sekali filem ini dibikin atau menjalani penggambaran sekurang-kurangnya semasa kempen pilihanraya atau selepas penubuhan kerajaan baru. Ini bermakna filem ini hanya mengambil masa beberapa bulan untuk dirakam, diedit dan diterbitkan. Menjadikannya filem wayang yang dibikin paling pantas dalam pengetahuan kami. Tapi adakah ia sebuah filem yang baik? Ini ulasan kami.

Rise Ini Kalilah

Rise Ini Kalilah – Mengimbau Kembali Pilihanraya Umum 14

Filem Rise Ini Kalilah, mengikuti perjalanan beberapa orang watak, mewakili segenap lapisan masyarakat Malaysia sepanjang musim pilihanraya yang lepas. Fira Filzah seorang pelajar Malaysia di UK yang serba salah untuk pulang ke tanah air untuk menghadiri perkahwinan kakaknya kerana akan kehilangan peluang kerja. Remy Ishak seorang anggota polis yang bergelut dengan amalan korupsi di sekelilingnya. Sangeeta Kishnasamy  pula seorang guru yang ingin menyumbang tenaga dengan menjadi seorang PACA, tetapi menerima tentangan bapanya, seorang pegawai pilihanraya di pusat mengundi di sekolahnya. Jack Tan pula bekerja di Singapura, tetapi mempunyai masalah membiasakan diri dengan kehidupan di sana. Shashi Tharan seorang pemilik perniagaan yang menguruskan pekerja asing menghadapi dilema kerana terpaksa menghadapi kerenah orang-orang di sebalik tabir yang menggugat perniagaannya. manakala Mark O’Dea seorang wartawan asing yang membuat liputan mengenai pilihanraya Malaysia.

Filem ini membawa penonton untuk mengalami semula pengalaman musim pilihanraya melalui kacamata unik individu berkenaan yang dahagakan perubahan. Tontonlah filem ini untuk mengalami semula meneriahan pilihanraya umum ke 14.

Review

Bercakap mengenai filem yang berdasarkan atau diinspirasikan kisah benar, bagi saya, terdapat dua jenis mod penceritaan. Pertama mod idealis dan kedua mod realis. Jika anda menonton filem One Two Jaga, itu mod penceritaan yang realis, di mana penceritaannya tiada tapis. Jika perkara itu buruk ia akan memaparkan seadanya. Namun, filem Rise Ini Kalilah adalah sebuah filem yang idealis dan admin pula seorang yang realis. Oleh sebab itu bagi admin kebanyakan babak dalam filem ini tampak dibuat-buat dan seolah untuk menyokong agenda sebelah pihak.

Sebagai contoh, jika ada babak mengenai rasuah, ia dipaparkan dengan terlalu “obvious” sehingga kita sebagai penonton meragukan kesahihan perkara tersebut. Ia seperti video anti rasuah di saluran RTM, jika anda pernah lihat. Berbeza dengan babak rasuah dalam One Two Jaga yang menggunakan istilah-istilah atau bahasa tertentu untuk mengaburi mata pihak tertentu. Dengan kata lain pembikin One Two Jaga menjalankan lebih kajian latarbelakang berbanding pembikin Rise Ini Kalilah. Tambahan pula, dalam filem Rise, segala identiti anggota polis telah diubah untuk tidak mendatangkan masalah dengan pihak polis di kemudian hari. Contohnya, logo polis di kereta ronda dan uniform polis semuanya telah digantikan dengan logo rekaan sendiri. Perkataan polis pada uniform juga dikaburkan, malah perkataan polis langsung tidak disebut dalam dialognya. Begitu juga dengan parti dan lambang parti yang sebenar tidak digunakan dan diganti dengan logo yang seakan-akan parti yang sebenar.

Walaubagaimanapun, filem ini bukan sahaja mengenai salah laku pihak-pihak tertentu dalam masyarakat. Ia juga mengenai semangat rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat yang bekerjasama  dalam membawa perubahan. Dari segi itu, ia mempunyai sedikit kelebihan, terutamanya dalam jalan cerita Mira Filzah yang membawa pulang undi pos pelajar dan rakyat Malaysia dari UK. Anda tentu pernah mendengar kisahnya di media sosial.

Mengenai skrip dan lakonannya pula, skrip yang digunakan mengandungi dialog yang agak pendek menjadikan babak-babak yang bertukar-tukar antara kisah setiap wataknya kelihatan sedikit tergesa-gesa. Namun penggunaan syot kamera yang berkualiti berjaya menampung kelemahan ini dan menjadikan filem ini tampak profesional. Bolehlah, untuk sebuah filem yang kami anggarkan dibikin dalam masa lebih kurang 3 bulan.

Secara keseluruhannya, filem ini mempunyai vibe yang lebih kurang sama dengan filem Ola Bola, namun kerana masa pembikinannya yang pendek, tidak memberi impak sebaik Ola Bola dari segi menaikkan semangat penonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Untuk sebuah filem dengan masa pembikinan yang pendek, ia sebuah filem yang baik.
  • Penggunaan syot kamera yang baik
  • Adakah ia mengimbau kembali perubahan 9 Mei? Ya.

Negatif

  • Idelistik
  • Script yang “unpolished” atau tidak diperhalusi
  • Perubahan babak antara watak agak tergesa-gesa

Kesimpulan

Secara jujurnya, jika anda penyokong parti yang kalah dalam pilihanraya umum yang lepas, anda sudah tentu tidak mahu menonton filem ini. Terutamanya kerana ia menggunakan suntingan video dari hari-hari pilihan raya sebenar yang menggambarkan kemenangan PH. Tetapi pada pendapat kami, perubahan persepsi rakyat tentang kerajaan baharu kebelakangan ini akan memberi impak kepada jumlah penonton yang ingin menonton filem ini di pawagam. Kami menonton filem ini dengan fikiran terbuka sebagai rakyat Malaysia dan bukan penyokong mana-mana parti, membolehkan kami memberi pandangan objektif dan kami berpendapat kejayaan filem ini di pawagam akan bergantung kepada pandangan politik penontonnya. Malah kami rasakan anda boleh mengukur popularti kerajaan sekarang dari jumlah kutipan filem ini di pawagam.

Penilaian: 6/10

Laman web Rise Inikalilah

The post Rise Ini Kalilah – Mengimbau Kembali Pilihanraya Umum 14 appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2Nnwndy

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya