Hunter Killer – Filem Mengenai Maruah Sebagai Anggota Tentera

Sebenarnya sudah lama admin tidak menonton filem-filem aksi-thriller ketenteraan yang menjadi satu genre yang agak popular pada zaman 90an. Filem-filem begini biasanya menggabungkan aksi dengan plot twist serta pengetahuan am mengenai geopolitik dunia. Hunter Killer merupakan sebuah filem dalam pemerhatian kami, namun hanya berdasarkan trailer, kami kurang pasti adakah ia sebuah filem yang baik. Jadi, kami berpeluang menonton filem ini di pawagam semalam untuk menyiasat sendiri filem ini.

Hunter Killer – Filem Mengenai Maruah Sebagai Anggota Tentera

Filem Hunter Killer mengisahkan kejadian di perairan semenanjung Kola di mana sebuah kapal selam Amerika bernama yang sedang mengintip sebuah lagi kapal selam Rusia. Tiba-tiba kapal selam Rusia itu meletup dan tenggelam, manakala kapal selam Amerika itu ditembak dan karam.

Komander Joe Glass ditugaskan oleh jurus angkatan tentera Amerika untuk membawa kapal selam USS Arkansas untuk menyiasat secara rahsia apa yang berlaku di tempat kejadian. Jore Glass seorang komander yang bermula dari bawah sehingga dinaikkan pangkat menjadi komander. Beliau tidak mempunyai latihan khas di skolah ketenteraan menjadikan beliau seorang komander yang tidak konvensional atau “skema“. Lokasi tempat kejadian yang berhampiran dengan sebuah pangkalan tentera laut Russia sekaligus membawa risiko peperangan meletus antara kedua-dua negara.

Apakah yang sebenarnya berlaku kepada kedua-dua kapal selam berkenaan? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Tanpa membuang masa, filem ini terus kepada subjek filem ini pada babak pertama; babak dua kapal selam yang dikaramkan di perairan semenanjung Kola. Ia menunjukkan apa yang berlaku, tetapi tidak mendedahkan siapa yang melakukannya, jadi misteri inilah yang akan dirungkai sepanjang filem ini. Jalan ceritanya mendedahkan satu demi satu butiran mengenai situasi insiden ini dengan baik dan teratur, membolehkan penonton faham apa yang sedang berlaku. Jalan ceritanya juga mungkin memerlukan sedikit pengetahuan am mengenai situasi geopolitik antara Amerika dan Russia, namun saya yakin penonton boleh menangkap jalan ceritanya tanpa masalah besar.

Sangkaan biasa ialah peperangan kapal selam pastinya kurang menarik, namun filem ini menyajikan babak peperangan bawah air yang sangat mendebarkan dan penuh aksi. Terutamanya babak pertempuran terakhir yang epik. Babak pertempuran darat juga tidak kurang hebatnya. Tetapi filem ini bukan mengenai aksi semata-mata, ia juga mengenai politik, semangat ketenteraan dan maruh sebagai anggota tentera.

Namun satu perkara yang menjatuhkan filem ini ialah filem ini memaparkan orang Russia bercakap bahasa Inggeris sesama mereka. Filem ini akan lebih realistik jika mereka menggunakan bahasa Russia sesama mereka dengan sarikata di bawah. Sejujurnya, kesan penggunaan bahasa Inggeris itu agak besar dari segi nilai realism filem ini.

Hunter Killer

Secara keseluruhannya filem ini mempunyai keseimbangan antara aksi, politik dan penampilan karakter yang berkesan. Cuma terdapat isu dengan realism filem atau sekurang-kurangnya persepsi realism filem ini. Apa pun, jalan cerita dan kesudahan filem ini membuatkan kami berasa puas hati menontonnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menarik serta tidak terlalu berat
  • Babak aksi yang menarik
  • Semangat persaudaraan antara tentera di dua belah pihak dipaparkan dengan baik

Negatif

  • Isu-isu realism
  • Kapal selam Russia dinamakan “Konek“. Satu panggung tergelak

Kesimpulan

Kesimpulannya filem Hunter Killer ini bukan sebuah filem yang santai. Ia agak berat, namun tidak sampai ke tahap penonton terpaksa memerah otak. Mungkin ada sedikit isu dengan realism, tetapi menonton filem ini memberikan satu kepuasan yang tinggi. Kami merekomen anda menonton filem ini terutamanya memandangkan tidak banyak filem hebat yang diterbitkan pada ketika ini.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Hunter Killer – Filem Mengenai Maruah Sebagai Anggota Tentera appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2qcfa8L

First Man – Biografi Neil Armstrong, Manusia Pertama Ke Bulan

Sebut saja Neil Armstrong, pasti sesiapa pun kenal manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan. Filem First Man merupakan biografi ikon tersebut yang dibikin berdasarkan buku biografi dengan tajuk yang sama. Kami berpeluang menontonnya baru-baru ini dan berikut pendapat kami mengenai filem ini.

First Man – Biografi Neil Armstrong, Manusia Pertama Ke Bulan

Filem First Man merupakan filem biografi ikon manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan, Neil Armstrong. Filem ini menceritakan semula perjalanan Niel Armstrong dari masa beliau menjadi juruterbang penguji di NASA sehingga beliau menjejakkan kaki ke bulan dan pulang semula.

Filem ini memfokuskan kepada perlumbaan atau persaingan di antara Amerika dan USSR dalam mendominasi teknologi aeroangkasa dan satelit di zaman perang dingin sekitar tahun 1960an. Ia juga memberikan penekanan kepada cabaran yang dihadapi para angkasawan serta isteri-isteri mereka yang tabah berada di sisi mereka melalui cabaran-cabaran tersebut.

Fokus mendalam juga diberikan kepada pengalaman penonton meneroka angkasa dari sudut pandang angkasawan dan oleh kerana itu, tontonlah filem ini di pawagam IMAX untuk mendapat pengalaman penuh melalui filem ini.

Review

Nama pun filem biografi, jadi kita tidak boleh mengharapkan sebuah filem dengan jalan cerita yang mendebarkan atau didramatisasikan secara melampau. Filem ini lebih mirip kepada sebuah drama dokumentari yang mengisahkan jalan hidup angkasawan bernama Neil Armstrong. Jadi jika anda bukan peminat sejarah angkasa lepas, secara spesifik, sejarah Neil Armstrong, anda mungkin akan tertidur di pertengahan filem ini.

Untuk menjadikan filem ini lebih menarik, dari segi pengolahan jalan cerita, pengarah memfokuskan kepada konflik dalaman di dalam diri Neil Armstrong yang memberi impak kepada perhubungan di dalam keluarganya. Paling dominan ialah kesedihannya berikutan kematian anak perempuan sulungnya yang baru berusia tidak lebih dua tahun akibat kanser. Ia memberi kesan kepada keseluruhan hidupnya.

Seterusnya pihak produksi juga kreatif dalam memberikan pengalaman penerokaan angkasa kepada penonton dengan pemaparan babak-babak kapal angkasa dari sudut yang dramatik bagi memberi pengalaman aeroangkasa paling maksima kepada penonton. Oleh itu, jika anda mahu menonton filem ini, pastikan anda menonton ia di pawagam IMAX. Admin menonton di pawagam biasa dan walaupun kesan dramatik itu dapat dirasakan, admin yakin menontonnya di IMAX akan memberikan pengalaman lebih dramatik.

Selain itu, tidak banyak dapat dikatakan mengenai filem ini. Secara ringkasnya, ia adalah sebuah filem biografi dengan babak-babak kapal angkasa yang dramatik hasil penggunaan teknologi IMAX.

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak kapal angkasa dengan teknologi IMAX memang hebat
  • Tiada dramatisasi yang berlebihan atau tidak realistik

Negatif

  • Anda mungkin tertidur di tengah-tengah filem

First Man

Kesimpulan

Jika anda minat mengenai sejarah aeroangkasa dan Neil Armstrong, filem ini akan tampak menarik di mata anda. Namun jika anda penonton wayang yang inginkan aksi mendebarkan, anda mungkin akan kecewa. Bagus juga jika anda mempunyai anak remaja yang minat dalam bidang angkasa untuk menonton filem ini. Ia agak ilmiah. Tetapi, jika anda terpaksa menonton filem ini atas apa sebab pun, tontonlah di IMAX. Sekurang-kurangnya anda dapat menikmati pengalaman angkasa yang lebih dramatik.

Penilaian: 6/10

IMDB

The post First Man – Biografi Neil Armstrong, Manusia Pertama Ke Bulan appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2yZecAO

Taxi 5: Filem Perangkap Nostalgia

Mereka yang ke universiti sekitar awal/pertengahan tahun 2000-an tentu kenal siri filem komedi Perancis berjudul Taxi, mengisahkan teksi luar biasa yang menyelamatkan keadaan. Bagi anda yang lebih muda, mungkin tidak kenala filem ini. Filem Taxi 5 ditayangkan secara terhad di beberapa pawagam TGV di seluruh negara dan sebagai golongan yang disebut di atas, admin tidak melepas peluang menonton filem ke-5 dalam siri filem Taxi ini.

Taxi 5: Filem Perangkap Nostalgia

Taxi mengisahkan seorang anggota polis Paris bermasalah, Sylvain Marot yang ditukarkan ke jabatan Polis Metropolitan di Marseille akibat salah laku yang dilakukan kepada isteri pegawai atasan. Di sana beliau tepaksa mengetuai satu pasukan polis yang “kurang ideal”  dalam usahanya menangkap kumpulan perompak yang menggunakan kereta sport untuk melarikan diri.

Eddy Maklouf pula seorang pemandu Uber di Marseille yang digelar pemandu Uber terburuk. Untuk dijadikan cerita, Marot memerlukan kereta laju untuk menangkap kumpulan perompak dan kereta teksi Peugeot lagenda berada di tangan bapa saudara Eddy di Algeria.

Dapatkah Marot dan Eddy mendapatkan kereta teksi tersebut dan seterusnya menangkap kumpulan perompak itu? Tontonlah filem ini di pawagam TGV terpilih untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sejujurnya, admin tidak ingat filem Taxi ke berapa admin tonton dahulu, tapi admin telah hampir lupa keseluruhan jalan cerita filem-filem yang telah ditonton. Dari awal filem ini penonton sudah boleh mengetahui bahawa filem ini filem yang sangat simple. Malah karekter-karekternya sangat klise kepada filem-filem komedi polis dan jalan ceritanya juga mempunyai nasib yang sama. Tahap komedinya juga sekadar “slapstick” dan jalan ceritanya seolah ditulis oleh penulis sekolah menengah. Watak jahatnya juga tidak menakutkan dan lakonan mereka agak kaku. Itulah secara ringkasnya.

Sebagai peminat veteran filem ini, kami juga mengharapkan sebuah kereta Peugeot yang terkini untuk dijadikan Taxi, namun hampa apabila model kereta Peugeot 407 yang lama diguna semula untuk filem ini. Kereta ini merupakan kereta model yang sama digunakan dalam filem Taxi 4 yang ditayangkan pada tahun 2007 dahulu.

Beberapa perkara lain yang perlu disebut juga adalah terjemahan dialognya kepada bahasa Inggeris serta sarikatanya yang melucukan kerana tidak menepati makna sebenar. Kami mengharapkan filem ini mengekalkan bahasa Perancis asal dan tidak diterjemahkan tetapi, apakan daya. Patutlah ia mengambil masa yang lama untuk sampai ke Malaysia (ia ditayangkan pada bulan Aprill di Perancis).

Taxi 5

 

Secara ringkas, apa yang kami rasakan adalah filem ini bermain dengan nostalgia golongan seperti admin untuk menjual tiket wayangnya, malangnya apa yang terhasil langsung tidak memuaskan hati penonton. Malah sebelum filem ini betul-betul tamat, penonton sudah keluar dari panggung. Admin terkejut menoleh ke belakang dan tiada siapa dalam panggung.

Positif vs Negatif

Positif

  • Teradapat satu atau dua babak yang benar-benar lucu

Negatif

  • Semua, selain dari perkara positif di atas.

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem ini tidak berbaloi ditonton di wayang. Mungkin apabila anda membaca article ini, filem Taxi 5 ini sudah tidak lagi ditayangkan di panggung wayang akibat kekurangan penonton. Filem ini bermain dengan nostalgia peminat filem Taxi terdahulu, tetapi gagal dalam pelaksanaannya. Oleh itu jangan terpedaya dengan nostalgia anda dan hanya tonton jika ia ditayangkan melalui perkhidmatan strim seperti Netflix atau iFlix`

Penilaian: 4/10

IMDB

The post Taxi 5: Filem Perangkap Nostalgia appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2S6bzGg

Project Gutenberg – Sebuah Filem Yang Tidak Syak Lagi Dari Hong Kong

Sejujurnya admin sudah lama tidak menonton filem Hong Kong, kecuali beberapa filem Jackie Chan yang kebanyakannya filem tanah besar China. Jika anda berpengalaman menonton filem-filem Hong Kong seperti Infernal Affairs dan Out Of Time, filem Hong Kong ini mempunyai feel dan vibe tersendiri. Begitulah yang dirasakan semasa menonton filem Project Gutenberg lakonan Chow Yun Fat dan Aaron Kuok. Di sini kami berkongsi pendapat mengenai filem ini.

Project Gutenberg – Sebuah Filem Yang Tidak Syak Lagi Dari Hong Kong

Project Gutenberg mengisahkan seorang pakar pemalsuan seni yang luar biasa bernama Lee Man yang ditangkap kerana aktiviti pemalsuan wang US Dollar. Dalam filem ini Lee Man telah ditangkap polis Hong Kong dan dipaksa untuk menceritakan kisah beliau mula terjebak dalam kancah pemalsuan wang. Filem thriller ini penuh dengan plot twist dan drama serta aksi mendebarkan, membuatkan anda tidak senang duduk.

Untuk mengikuti kisahnya, tonton filem ini di pawagam berhampiran anda.

Project Gutenberg

Review

Pertama sekali, filem ini adalah sebuah filem yang sangat berat. Anda bukan sahaja perlu menumpukan perhatian terhadap plot dan plot twistnya, malah anda perlu membaca sarikatanya dengan pantas kerana bahasa Kantonis memang laju. Jadi, jika anda mengantuk atau memang tidak gemar filem yang memerah otak, filem ini tidak sesuai dengan anda. Jika anda gemar filem berat sebegini, anda akan merasa puas dengan tahap cabaran minda yang ditampilkan filem ini.

Mengulas mengenai jalan ceritanya. Ia mendalami watak-watak secara mendalam dan anda perlu mengikuti hubungan antara setiap watak kerana di penghujung filem ini, plot twist yang ditampilkan sememangnya akan memecah otak bagi mereka yang tidak menumpukan perhatian atau menontonnya hanya untuk babak aksinya. Tambahan pula, kebanyakan filem ini diceritakan dalam flashback.

Sungguhpun demikian, terdapat juga babak-babak aksi yang mendebarkan, dibikin dengan gaya asli Hong Kong. Apatah lagi Chow Yun Fat yang melakonkan kebanyakan babak-babak aksi ini. Sememangnya ia satu resepi filem Hong Kong sejati. Sayangnya, kesudahan filem ini agak kurang memberangsangkan, walaupun tidak dijangka.

Dari segi lakonan, memang tidak dapat disangkal lagi kehebatan pelakon veteran-veteran Hong Kong ini dan memandangkan filem ini banyak memberi fokus kepada dua watak Aaron Kuok dan Chow Yun Fat, mutu lakonan pelakon tambahan tidak penting lagi. Anda mungkin tidak perasan pun.

Apa pun, filem ini sememangnya tanpa syak sebuah filem Hong Kong dan penonton tegar filem Hong Kong akan dapat merasakannya.

Project Gutenberg

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang menduga minda.
  • Babak aksi yang mendebarkan.
  • Lakonan mantap.

Negatif

  • Tidak sesuai untuk mereka yang tidak gemar filem berat
  • Kesudahan yang menghampakan.

Project Gutenberg

Kesimpulan

Kesimpulannya, filem Project Gutenberg ini sebuah filem yang niche kepada mereka yang gemarkan filem menduga minda. Kerana itu, kami tidak menjangkakan ia akan memecah box office di Malaysia. Tapi kami yakin peminat-peminat filem sebegini akan menyukainya, atau paling kurang rasa berbaloi menontonnya.

Penilaian: 7/10

IMDB

The post Project Gutenberg – Sebuah Filem Yang Tidak Syak Lagi Dari Hong Kong appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2CPxFZg

Venom – Filem Venom yang ditulis semula

Sejujurnya, admin tidak mengikuti perkembangan komik bercetak Marvel namun sedikit sebanyak mengetahui watak-watak di dalamnya. Difahamkan filem Venom terbaharu ini ditulis semula dan tidak mengikut komik bercetak Marvel. Ia juga tidak menyertakan watak Spiderman dan Carnage dalam filem ini, walaupun terdapat babak tersembunyi berkaitan mereka di penghujung filem (oops spoiler). Kami berpeluang menonton filem ini dan kini kami memberi pendapat mengenai filem ini. Malangnya admin tersilap masuk pawagam dan ketinggalan 15 minit pertama filem ini, namun daripada dialog seterusnya, admin boleh agak apa yang telah berlaku dalam 15 minit itu. Tapi admin miss bahagian di mana watak tambahan bercakap dalam bahasa Melayu, memandangkan makhluk asing telah mendarat di Sibu (disalah erti sebagai Cebu, Filipina dalam filem), Sarawak. Mungkin admin perlu tengok semula filem ini kemudian.

Venom – Filem Venom yang ditulis semula

Venom mengisahkan Eddy Brock, seorang wartawan yang ingin mendedahkan salah laku Life Foundation yang mengkaji makhluk asing yang mendarat di Sibu, Sarawak. Akibat menyiasat terlalu mendalam, beliau tertangkap dan kemudian telah dilucutkan jawatan dan segala kelulusan sebagai seorang wartawan. Beliau tidak lagi boleh menjadi seorang wartawan.

Tetapi dengan bantuan dari dalam beliau, dengan degilnya telah masuk ke makmal kajian Life Foundation di mana beliau telah dijangkiti simbiot makhluk asing bernama Venom. Simbiot ini memberikannya kuasa luarbiasa membolehkannya melarikan diri. Tetapi pasukan elit Life squad menjejaknya untuk mendapatkan kembali simbiot tersebut.

Apakah kesudahan filem ini? Tontonlah di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem-filem anti-hero seperti Deadpool dan filem Venom ini ternyata mempunyai tarikan yang unik. Jika filem hero biasa boleh dijangka di mana heronya sangat baik dan idealistik, filem anti-hero ini sukar diramal kerana mereka bukan orang yang baik, tetapi memperjuangkan kebenaran. Beginilah watak Venom ini. Jika dinilai secara bersendirian, watak Venom sememangnya jahat dan ingin menguasai bumi, namun olehkerana beliau mempunyai hos seperti Eddy Brock yang memperjuangkan kebenaran (sungguhpun dengan cara kasar), kejahatan Venom tidak dibenarkan melampaui batas. Keserasian antara dua watak Venom dan Eddy Brock sememangnya menjadi.

Namun, dari segi jalan ceritanya, ia bukanlah yang terhebat, malah jalan ceritanya boleh dijangka. Apa yang baiknya, ia tidak mengikut jalan cerita komik bercetak Marvel, jadi ia memberikan satu plot yang berbeza dari Venom yang kita biasa tonoton, termasuk dalam siri filem Spiderman lakonan Tobey Maguire.

Walaupun plotnya bukanlah sehebat mana, babak aksi yang mendebarkan dan lawak jenakanya yang lucu lebih kurang dapat menampung kelemahan ini dan menjadikan filem ini satu filem yang menghiburkan. Secara keseluruhannya, filem ini memang menghiburkan, namun bukan satu filem anti-hero yang luar biasa. Tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai filem ini.

Positif Vs Negatif

Positif

  • Secara keseluruhannya ia filem yang menghiburkan
  • Tidak mengikut jalan cerita komik Marvel
  • Alien mendarat di Sibu, Sarawak.

Negatif

  • Biasa-biasa sahaja, tiada yang luarbiasa

Kesimpulan

Filem Venom adalah sebuah filem yang menghiburkan, namun sebagai satu siri filem Marvel, mungkin ia terletak di kedudukan bawahan dalam senarai filem Marvel yang perlu ditonton. Memandangkan filem ini adalah filem pertama dalam satu lagi siri filem Marvel Universe, anda boleh memilih untuk tidak menonton filem ini supaya anda tidak perlu menonton filem-filem sekuelnya selepas itu. Namun, kami rasa anda pun tahu Marvel Studios pasti akan membikin filem sequel atau filem watak Marvel lain yang berkaitan dengan Venom, seterusnya memaksa anda menonton filem Venom untuk mengetahui asal usul seseorang watak Marvel itu. Bijak Marvel Studios ni.

VENOM

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Venom – Filem Venom yang ditulis semula appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2CprNoB

Paskal The Movie: Akhirnya, Sebuah Filem Aksi Malaysia Terulung Telah Terhasil!

Walaupun sehingga sekarang sukar untuk menonton sebuah filem aksi Malaysia yang mampu menandingi filem Holywood, kami tetap percaya satu hari pembikin filem Malaysia akan berjaya menghasilkan sebuah filem aksi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Nampaknya hari itu telah tiba dengan penayangan filem Paskal the Movie. Filem yang menelan belanja RM10 juta ini merupakan bajet filem tertinggi dalam sejarah filem Malaysia. Ia diarahkan oleh Adrian Teh.

Paskal The Movie: Akhirnya, Sebuah Filem Aksi Malaysia Terulung Telah Terhasil!

Paskal The Movie mengisahkan Lft. Komander Arman Anwar yang mengetuai satu pasukan elit Pasukan Khas Tentera Laut (Paskal) yang berfungsi untuk menangani situasi ketenteraan berisiko tinggi. Disebabkan beliau kehilangan ayahnya yang juga seorang anggota Paskal, ibunya sangat negatif tentang bidang kerja Arman. Namun, Arman mempunyai niat lain untuk menyertai pasukan khas itu. Beliau ingin mengetahui bidang kerja elit ini dan untuk apa bapanya berkorban nyawa dalam menjalankan tugasnya.

Berikutan sebuah tragedi semasa bertugas di Angola di bawah bendera PBB, seorang rakannya maut, manakala seorang lagi telah dibuang dari pasukan Paskal. Ini juga menyebabkan Arman berfikir semula mengenai kerjayanya. Beliau ingin bertukar menjadi jurulatih di pangkalan tentera laut di Lumut. Namun ketuanya meminta beliau menjalankan satu misi terakhir sebelum pergi. Tanpa disedari, ini merupakan misi yang bakal merubah hidupnya.

Review

Jelas sekali dari awal filem ini bahawa pembikinan filem ini menerima sokongan dan kerjasama sepenuhnya dari pihak Tentera Laut Malaysia jika dilihat dari aset-aset yang telah digunapakai dalam filem ini. Bukan sahaja senjata sebenar digunakan, malah helikopter, kapal terbang dan kapal selam juga telah digunakan sepenuhnya dalam mewujudkan satu tahap realism yang tinggi.

Satu perkara yang disedari pada awal filem ini ialah kebanyakan pelakon yang berlakon dalam filem ini adalah muka-muka baharu, malah semuanya memang dalam tahap kecergasan tertinggi, sesuai dengan watak mereka sebagai anggota Paskal. Dimaklumkan bahawa para pelakon terpaksa menjalani latihan ketenteraan selama 2 bulan sebelum menjalani penggambaran filem ini. Atas sebab itu segala SOP dan gerak langkah ketenteraan yang dipertontonkan adalah realistik dan tidaklah kelihatan dibuat-buat seperti dalam siri-siri  Gerak Khas.

Jalan ceritanya sememangnya dilakar dengan teliti. Kisahnya diceritakan dengan teratur dengan beberapa flashback digunakan untuk menerangkan kenapa Arman berada dalam situasi atau dilema yang sedia ada. Flashback ini juga dibuat dengan baik supaya penonton tidak keliru dengan transisi antara kisah masa lampau dan sekarang. Tapi secara keseluruhan, harus diakui jalan cerita yang ditampilkan tidaklah baharu. Malah ia merupakan template piawai filem aksi Holywood. Anda mungkin boleh melihat template ini dalam filem Top Gun.

Sungguhpun demikian, kayu ukur sebuah filem bukan sahaja terletak pada template jalan ceritanya, sebaliknya bagaimana pasukan produksi menggunakan kreativiti untuk membikin dan mengolahnya supaya menjadi menarik. Kami boleh memberi jaminan bahawa filem ini berjaya menggunakan template berkenaan secara efektif untuk membikin sebuah filem aksi Malaysia yang terbaik. Dari segi jalan cerita, sukar untuk mencari kelemahan, samada dari segi plot atau execution.

Watak-watak dalam filem ini juga satu aspek yang harus dipuji. Setiap watak mempunyai karakternya tersendiri dan character development dibuat dengan baik sekali membolehkan penonton menghayati watak-watak dalam filem ini. Sebagai contoh watak “Ustat” sentiasa mempunyai karekter yang mengeluarkan ayat-ayat keagamaan dan watak Yan yang sentiasa berlawak jenaka dan menghiburkan suasana.

Namun kelemahan menonjolkan diri dari segi lakonan. Terutamanya watak-watak sokongan dan sampingan yang agak kaku. Malah lakonan pelakon utamanya Hairul Azreen juga bukanlah yang terbaik, namun OK sahaja. Namun ketangkasan menjalankan babak berlawan yang sengit secara tidak langsung telah berjaya menutupi kelemahan tersebut. Apa pun, kelemahan ini kecil sahaja dan tidak merosakkan persepsi penonton terhadap filem ini secara keseluruhan. Lagipun lakonan pelakon-pelakon utama lain yang baik telahpun mengalihkan tumpuan penonton dari kelemahan tersebut.

Tetapi paling penting, filem ini sememangnya mempunyai elemen-elemen patriotik yang berkesan membuatkan anda bangga menjadi rakyat Malaysia. Jika anda anggota pasukan keselamatan atau mempunyai keluarga di kalangan anggota keselamatan, bertambah-tambahlah kebanggaan anda tergolong dalam golongan ini.

Paskal

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang dibikin dengan baik
  • Aset yang digunakan dengan efektif
  • Babak aksi yang sengit

Negatif

  • Lakonan pelakon tambahan mungkin sedikit kaku
  • Sesetengah CGI kurang realistik (tak banyak CGI pun dalam filem ni)

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan filem Paskal ini menggunakan template jalan cerita Holywood, namun execution filem ini sememangnya tanpa syak adalah antara yang terbaik (jika bukan terbaik) dalam industri filem aksi Malaysia. Dari sudut yang lebih luas, ia adalah batu loncatan pertama untuk membikin lebih banyak filem-filem aksi Malaysia yang lebih baik. Dengan kata lain, memandangkan kini telah terbukti bahawa pembikin filem Malaysia boleh membuat filem aksi sebegini hebat, mereka boleh menumpukan kepada jalan cerita yang lebih luar biasa dan tidak terkongkong oleh templete filem Holywood. Barulah industri filem tempatan dapat berkembang lebih jauh.

Memanglah, jika dibandingkan dengan filem terbaik Holywood, filem ini tidaklah seberapa, tetapi jika dibandingkan di kalangan filem tempatan, filem ini sememangnya antara yang terbaik, tanpa syak lagi. Sebagai sebuah filem tempatan, kami mahu berikannya markah 10/10, tetapi kami perlu adil kepada kesemua filem.

Jadi kami mengesyorkan anda menonton filem ini di pawagam kerana kami telah menonton preview filem ini di Astro tempoh hari dan mendapati ia kurang berkesan berbanding menonton di panggung wayang. Kami jamin anda akan berpuas hati menonton filem ini.

Penilaian – 8.5/10

The post Paskal The Movie: Akhirnya, Sebuah Filem Aksi Malaysia Terulung Telah Terhasil! appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2xNTowC