Paskal The Movie: Akhirnya, Sebuah Filem Aksi Malaysia Terulung Telah Terhasil!

Walaupun sehingga sekarang sukar untuk menonton sebuah filem aksi Malaysia yang mampu menandingi filem Holywood, kami tetap percaya satu hari pembikin filem Malaysia akan berjaya menghasilkan sebuah filem aksi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Nampaknya hari itu telah tiba dengan penayangan filem Paskal the Movie. Filem yang menelan belanja RM10 juta ini merupakan bajet filem tertinggi dalam sejarah filem Malaysia. Ia diarahkan oleh Adrian Teh.

Paskal The Movie: Akhirnya, Sebuah Filem Aksi Malaysia Terulung Telah Terhasil!

Paskal The Movie mengisahkan Lft. Komander Arman Anwar yang mengetuai satu pasukan elit Pasukan Khas Tentera Laut (Paskal) yang berfungsi untuk menangani situasi ketenteraan berisiko tinggi. Disebabkan beliau kehilangan ayahnya yang juga seorang anggota Paskal, ibunya sangat negatif tentang bidang kerja Arman. Namun, Arman mempunyai niat lain untuk menyertai pasukan khas itu. Beliau ingin mengetahui bidang kerja elit ini dan untuk apa bapanya berkorban nyawa dalam menjalankan tugasnya.

Berikutan sebuah tragedi semasa bertugas di Angola di bawah bendera PBB, seorang rakannya maut, manakala seorang lagi telah dibuang dari pasukan Paskal. Ini juga menyebabkan Arman berfikir semula mengenai kerjayanya. Beliau ingin bertukar menjadi jurulatih di pangkalan tentera laut di Lumut. Namun ketuanya meminta beliau menjalankan satu misi terakhir sebelum pergi. Tanpa disedari, ini merupakan misi yang bakal merubah hidupnya.

Review

Jelas sekali dari awal filem ini bahawa pembikinan filem ini menerima sokongan dan kerjasama sepenuhnya dari pihak Tentera Laut Malaysia jika dilihat dari aset-aset yang telah digunapakai dalam filem ini. Bukan sahaja senjata sebenar digunakan, malah helikopter, kapal terbang dan kapal selam juga telah digunakan sepenuhnya dalam mewujudkan satu tahap realism yang tinggi.

Satu perkara yang disedari pada awal filem ini ialah kebanyakan pelakon yang berlakon dalam filem ini adalah muka-muka baharu, malah semuanya memang dalam tahap kecergasan tertinggi, sesuai dengan watak mereka sebagai anggota Paskal. Dimaklumkan bahawa para pelakon terpaksa menjalani latihan ketenteraan selama 2 bulan sebelum menjalani penggambaran filem ini. Atas sebab itu segala SOP dan gerak langkah ketenteraan yang dipertontonkan adalah realistik dan tidaklah kelihatan dibuat-buat seperti dalam siri-siri  Gerak Khas.

Jalan ceritanya sememangnya dilakar dengan teliti. Kisahnya diceritakan dengan teratur dengan beberapa flashback digunakan untuk menerangkan kenapa Arman berada dalam situasi atau dilema yang sedia ada. Flashback ini juga dibuat dengan baik supaya penonton tidak keliru dengan transisi antara kisah masa lampau dan sekarang. Tapi secara keseluruhan, harus diakui jalan cerita yang ditampilkan tidaklah baharu. Malah ia merupakan template piawai filem aksi Holywood. Anda mungkin boleh melihat template ini dalam filem Top Gun.

Sungguhpun demikian, kayu ukur sebuah filem bukan sahaja terletak pada template jalan ceritanya, sebaliknya bagaimana pasukan produksi menggunakan kreativiti untuk membikin dan mengolahnya supaya menjadi menarik. Kami boleh memberi jaminan bahawa filem ini berjaya menggunakan template berkenaan secara efektif untuk membikin sebuah filem aksi Malaysia yang terbaik. Dari segi jalan cerita, sukar untuk mencari kelemahan, samada dari segi plot atau execution.

Watak-watak dalam filem ini juga satu aspek yang harus dipuji. Setiap watak mempunyai karakternya tersendiri dan character development dibuat dengan baik sekali membolehkan penonton menghayati watak-watak dalam filem ini. Sebagai contoh watak “Ustat” sentiasa mempunyai karekter yang mengeluarkan ayat-ayat keagamaan dan watak Yan yang sentiasa berlawak jenaka dan menghiburkan suasana.

Namun kelemahan menonjolkan diri dari segi lakonan. Terutamanya watak-watak sokongan dan sampingan yang agak kaku. Malah lakonan pelakon utamanya Hairul Azreen juga bukanlah yang terbaik, namun OK sahaja. Namun ketangkasan menjalankan babak berlawan yang sengit secara tidak langsung telah berjaya menutupi kelemahan tersebut. Apa pun, kelemahan ini kecil sahaja dan tidak merosakkan persepsi penonton terhadap filem ini secara keseluruhan. Lagipun lakonan pelakon-pelakon utama lain yang baik telahpun mengalihkan tumpuan penonton dari kelemahan tersebut.

Tetapi paling penting, filem ini sememangnya mempunyai elemen-elemen patriotik yang berkesan membuatkan anda bangga menjadi rakyat Malaysia. Jika anda anggota pasukan keselamatan atau mempunyai keluarga di kalangan anggota keselamatan, bertambah-tambahlah kebanggaan anda tergolong dalam golongan ini.

Paskal

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang dibikin dengan baik
  • Aset yang digunakan dengan efektif
  • Babak aksi yang sengit

Negatif

  • Lakonan pelakon tambahan mungkin sedikit kaku
  • Sesetengah CGI kurang realistik (tak banyak CGI pun dalam filem ni)

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan filem Paskal ini menggunakan template jalan cerita Holywood, namun execution filem ini sememangnya tanpa syak adalah antara yang terbaik (jika bukan terbaik) dalam industri filem aksi Malaysia. Dari sudut yang lebih luas, ia adalah batu loncatan pertama untuk membikin lebih banyak filem-filem aksi Malaysia yang lebih baik. Dengan kata lain, memandangkan kini telah terbukti bahawa pembikin filem Malaysia boleh membuat filem aksi sebegini hebat, mereka boleh menumpukan kepada jalan cerita yang lebih luar biasa dan tidak terkongkong oleh templete filem Holywood. Barulah industri filem tempatan dapat berkembang lebih jauh.

Memanglah, jika dibandingkan dengan filem terbaik Holywood, filem ini tidaklah seberapa, tetapi jika dibandingkan di kalangan filem tempatan, filem ini sememangnya antara yang terbaik, tanpa syak lagi. Sebagai sebuah filem tempatan, kami mahu berikannya markah 10/10, tetapi kami perlu adil kepada kesemua filem.

Jadi kami mengesyorkan anda menonton filem ini di pawagam kerana kami telah menonton preview filem ini di Astro tempoh hari dan mendapati ia kurang berkesan berbanding menonton di panggung wayang. Kami jamin anda akan berpuas hati menonton filem ini.

Penilaian – 8.5/10

The post Paskal The Movie: Akhirnya, Sebuah Filem Aksi Malaysia Terulung Telah Terhasil! appeared first on WayangKini.



from WayangKini https://ift.tt/2xNTowC

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara kawal berat badan dan info kesihatan mengenainya